JUN 2023

Premier Sarawak Ketuai Konvoi Kembara 60 Tahun Sarawak Merdeka Dari Miri Ke Bintulu


MIRI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunggang motosikal bagi mengetuai Konvoi Kembara 60 Tahun Sarawak Merdeka sejauh 168.3 kilometer (km) hari ini.

Konvoi bermula dari Stadium Bandaraya Miri di sini sehingga ke NAIM Street Mall Paragon di Bintulu yang menyaksikan tiga lokasi ‘Pit Stop’ iaitu Pantai Bungai, Bekenu sejauh 47.3 km, Kampung Nyalau (76.1 km) dan Paragon  (87.5 km) di Bintulu.

Konvoi disertai seramai 268 peserta itu membabitkan sebanyak 81 motosikal serta 56 kereta dan lapan kenderaan lain dan tiba di Pantai Bungai sekitar jam 10.41 pagi setelah sekitar 50 minit perjalanan dari Stadium Bandaraya Miri. 

Abang Johari di  ‘Pit Stop’ itu, mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bekenu atas keputusan memberangsangkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022. 

Rombongan konvoi kemudiannya berlepas dari Pantai Bungai sekitar jam 11.55 pagi untuk ke ‘Pit Stop' Kampung Nyalau di Bintulu dan tiba sekitar jam 1.10 tengah hari.

Konvoi kemudian berlepas dari Kampung Nyalau sekitar jam 1.50 petang bagi ke ‘Pit Stop' terakhir di NAIM Street Mall, Paragon Bintulu dijangka sekitar jam 4 petang.

Ketika ditemui, Abang Johari berkata, dari konvoi itu tidak dapat dinafikan Sarawak telah berubah termasuk sepanjang jalan dari Miri ke Bintulu sekitar 80-an mengambil masa dua jam melalui jalan berbatu.

"Hari ini kalau saya tidak berhenti di Nyalau dan saya tidak berhenti Bungai, satu jam lebih saya dah ada di Bintulu dari Miri, ini bukti pembangunan yang telah berlaku" katanya.

Katanya, di kiri kanan sepanjang jalan juga dapat melihat ladang pertanian dan kilang-kilang seperti di Samalaju.

Sumber dari : Jiwa Bakti